2 MINGGU BERSAMA CALON-CALON KONSTABEL PDRM

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


31 Mac - harini adalah hari terakhir cheq bertugas sebagai LO (lead officer) untuk pengerusi temuduga bagi konstabel polis. Dua minggu di sini, cheq dapat menyaksikan pelbagai ragam calon-calon sebelum masuk ditemuduga. Ada yang pusat lesi muka, toreh pun tak berdarah disebabkan takut. Sebab takut jugak ada yang 2 minit sekali berulang ke tandas.

Itu kisah sebelum masuk bilik temuduga. Kisah selepas keluar dari bilik temuduga pulak, ada calon yang tarik nafas lega, ada jugak yang geleng kepala dan ada jugak yang menangis. Bermacam-macam emosi yang dapat cheq lihat dalam tempoh 2 minggu ni. Diluar ada ibubapa yang menunggu anak-anak mereka dengan penuh harapan. Sedih bila lihat anak diberitahu tidak lulus.



Sepanjang tempoh 2 minggu ni jugaklah, pelbagai jenis panggilan telefon yang cheq terima. Yang berselisih bahu tapi tak pernah bertegur pun, tup-tup telefon cheq minta tolong adjustkan sedara-mara diaorang dalam temuduga ni. Cheq ni memang baik hati tak kisah pun setakat nak tolong sampaikan nama calon tu ke pengerusi. Selain tu, cheq bagi tips dan soalan-soalan yang sering ditanya. Bagi diaorang study dulu. Biar diaorang masuk jawab temuduga ni dengan usaha sendiri tanpa harapkan kabel ja.


Tapi cheq cukup ralat sebabnya dalam ramai-ramai cheq tolong, sorang calon ni tak dapat. Bila cheq tahu dia tak dapat, cheq cari dia kat luar. Ingatkan dia bersedih, rupanya dia gembira sebabnya dia memang tak minat polis ni. Dia datang pun sebab emak ayah dia yang paksa. Emak dia memang berharap sangat dia dapat kerja ni. Sebenarnya budak ni minat dalam bidang masakan. Pernah dapat tawaran sambung belajar dalam bidang kulinari tapi dihalang keluarga. Pernah dapat tawaran bekerja di bahagian dapur atas kapal Star Cruise, jugak dihalang keluarga. Sekarang ni budak ni bekerja di butik cafe di Kota Bharu. Kalau boleh kita sebagai ibubapa ni jangan halang minat anak-anak dan jangan memaksa dia membuat benda yang dia tak suka, nanti anak-anak akan memberontak.

Mulai minggu depan, rutin cheq kembali seperti biasa. Datang kerja awal pagi, masuk meeting pagi, tengok repot polis dan sekali-sekala pergi mahkamah tengok anak buah. Harap-harap orang kat ofis tu masih kenal cheq la.

BILA SUAMI ISTERI BERKONGSI KERETA

  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Alkisahnya pasal cheq dan husband. Kitaorang ni selalu sangat berkongsi kereta. Tapi setiap kali masuk kereta dan duduk kat bahagian pemandu tu, ada ja benda nak kena adjust balik. Selalu sangat kena adjust semula tempat duduk dan cermin pandang belakang. Kalau ikutkan ketinggian tu, memanglah cheq yang katik sikit dari husband tu kena depankan kerusi pemandu tu.

Selalunya cheq akan tukar kereta bila kereta cheq dah nak habis minyak. Punya malas nak berhenti kat stesen minyak, jadi selalu jugak cheq tinggalkan kereta untuk husband cheq isikan minyak. 

Cheq ini kalau bawak kereta lebih selesa kerusi pemandu tu cheq baringkan sikit, manakala husband cheq pula jenis memandu sambil duduk menegak. Pernah jugak cheq cuba bawak kereta dengan kerusi menegak tu tapi sekejap ja, pastu adjust balik. Rasa macam budak baru belajar bawak kereta pulak duk tegak gitu. Husband cheq pula selalu membebel kat cheq kalau duk kena adjust kerusi cheq. Dia kata daripada bawak kereta dengan kerusi camtu, baik baring terus...hehehehe. Masing-masing ada cara sendiri nak bawak kereta ikut keselesaan sendiri.




Dalam hidup berumahtangga, tak semestinya suami isteri kena sehati sejiwa selalu. Masing-masing ada kesukaan sendiri. Sebagai suami kita tak boleh paksa isteri ikut kesukaan kita, begitulah jugak dengan si isteri. Perbezaan inilah kadang-kadang menambahkan kemanisan dalam hidup berumahtangga ni.

KEBAIKAN BUAH LEMON

  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Buah lemon memang sangat masam dan tak boleh dimakan macam tu ja. Tapi, tahukah kawan-kawan semua yang buah lemon tu kaya dengan nutrien  penting seperti vitamin C, vitamin B kompleks, kalsium, zat besi, magnesium, kalium dan serat. Banyakkan khasiatnya! Ramai yang tahu yang air lemon ni boleh dijadikan sebagai air detoks. Selain itu, apalagi kebaikan buah lemon ni....



1. Mengurangkan keradangan
Air lemon mampu mengurangkan asid dalam badan anda. Ia membuang asid urik di dalam sendi anda, yang mana menjadi punca utama masalah keradangan.

2. Baik untuk penghadaman
Bukan sahaja baik untuk penghadaman, tetapi baik juga untuk saluran pencernaan. Air lemon juga membantu melegakan rasa ketidakhadaman seperti pedih hulu hati, sendawa dan kembung.

3. Menurunkan berat badan
Lemon mengandungi serat yang membantu untuk melawan rasa lapar dan tidak makan banyak. Boleh kurus!

4. Membuang toksin
Air lemon berupaya membuang toksin dalam badan dengan meningkatkan fungsi enzim dan merangsang hati anda.

5. Kulit jadi cantik
Antioksidan dalam lemon boleh membantu mengurangkan bintik hitam dan juga kedutan. Ia juga boleh digunakan untuk parut dan kulit akan jadi cantik.

6. Menguatkan sistem imunisasi
Vitamin C baik untuk sistem imun kita. Tahap vitamin C dalam tubuh akan hilang jika berada dalam tekanan dan buat kita jatuh sakit. Jadi, tak perlu beli vitamin C di luar, hanya amalkan air bersama lemon sahaja.

7. Baik untuk jantung
Kandungan kalium yang tinggi dalam air lemon adalah baik untuk kesihatan jantung, otak serta fungsi saraf kita.

8. Segarkan nafas
Tahukah anda bahawa lemon membantu melegakan sakit gigi? Ini kerana asid sitrik boleh menghakis enamel gigi. Jadi, takdak lagi nafas berbau kerana bakteria dalam mulut.
9. Membantu mereka yang ketagih kafein
 Ramai yang anggap kopi mampu membuatkan mereka segar dan bersemangat di waktu pagi. Tetapi, bagi mereka yang dah ketagih, air lemon mampu membantu dan anda akan tetap rasa segar.

10. Membantu melawan jangkitan virus
Air lemon panas berkesan untuk mengurangkan jangkitan virus dan sakit tekak. Jus lemon juga mampu meningkatkan sistem imun anda.

Bak kata orang "sharing is caring". Cheq pun mampu share jer tapi masih belum mampu nak hirup air lemon ni. Sebabnya cheq pernah try buat sekali, tapi pahit je rasanya... terus sampai sekarang tak minum dah air lemon ni.

7 CARA HARGAI IBUBAPA

  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

HARGAI IBU BAPA KITA

Macam-macam cara untuk kita hargai ibubapa kita. Sebagai seorang anak yang meningkat dewasa, sudah tahu akan tanggungjawab untuk bahagiakan ibu bapa sementara mereka masih ada. Macam cheq yang jauh diperantauan ni. Memang teramat rindukan emak ayah dan saudara- mara di kampung. Nak pulak cheq dah berkahwin dengan orang jauh. Cuti balik kampung kenalah bergilir-gilir bagi sama adil. Walaupun berjauhan, tetap ada cara untuk kita menghargai kedua ibu bapa kita. Disini ada beberapa cara untuk hargai ibu bapa yang semua orang mampu laksanakan.

Sekadar gambar hiasan


1. Lemah lembut semasa berbicara
Apabila mereka semakin berumur, mereka lebih sensitif dalam setiap perkara. Jadi, pastikan setiap bicara dijaga dengan elok.

2. Gembirakan hati mereka
Tidak perlu berbelanja besar. Cukuplah kita prihatin terhadap keperluan mereka. Ingat balik di mana mereka memenuhi permintaan kita semasa kita kecil.

3. Doakan mereka
Doa merupakan senjata orang mukmin. Biar beribu batu sekalipun, teruslah berdoa kerana sesungguhnya doa itu tidak mengira sempadan. Tambah lagi jika kita berada beribu batu daripada mereka.

4. Hubungi mereka walau di mana kita berada
Hubungilah mereka sekerap yang mungkin. Mengambil berat tentang mereka adalah tanggungjawab kita. Gunakan kemudahan teknologi yang ada. Jangan jadikan alasan.

5. Hargai mereka semasa hari lahir kita
Biasanya ramai yang menyambut hari lahir dengan kawan-kawan. Apa salahnya kita sambut dengan ibubapa. Katakanlah, "Terima kasih kerana melahirkan dan membesarkan saya".

6. Peluk dan cium mereka selalu
Memang daripada luaran tidak nampak mereka ingin dipeluk dan dicium. Anak dah semakin besar, duduk berasingan. Sudah tentumereka rindu akan pelukan dan ciuman anak-anak.

7. Bawa mereka berjumpa saudara mara dan sahabat lama
Mereka juga mahu melihat dunia luar. Jika tak mampu bawa mereka melancong, cukuplah sekadar bawa mereka berjumpa saudara-mara dan sahabat mereka. Mereka pasti gembira.

Semoga hidup ibu bapa kita semua diberkati oleh Allah SWT. Aminnn




TIDAK DAPAT DIPISAHKAN

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Kalau dah memang ada keturunan Jawa, memang tak dapat nak lari dari makan tempe dan tauhu. Gitulah keadaannya bila cheq balik kampung belah husband. Memang menjadi makanan wajib mesti ada setiap Kali makan.

Husband cheq ni walaupun ada sipi-sipi keturunan Jawa, takdelah menjadi wajib ada setiap kali makan. Kalau pergi pasar, jumpa tempe mesti beli. Tapi kalau tak jumpa pun takde masalah. 

Cara nak sediakan pun senang ja. Cuma lumur dengan garam kunyit dan goreng. Nak lebih terangkat, makan dengan sambal kicap.



Sekarang ni cheq dah expert buat sambal kicap ni. Ni pun cheq belajar dari husband cheq sendiri.

ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE 9

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Alhamdulillah, pada 24 Mac yang lalu genaplah perkahwinan cheq dan husband yang ke 9 tahun. Dengan dikurniakan 3 orang cahaya mata, selama 9 tahun tahun kami menjadi rakan serumah, rakan sebilik, rakan sebantal, rakan berbicara, rakan bergaduh..





Tipu rasanya kalau dalam tempoh 9 tahun ni, kami tidak pernah bertikam lidah, tidak pernah bertegur sapa, tidak pernah merajuk.. Itulah cabaran dan dugaan dalam hidup berumahtangga. Alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya sehingga sekarang. 

Sambutan pun ala kadar ja kat rumah. Sekadar beli kek dan beli makan-makan ja. Memang malam tu gantung periuk. 






Doakan kami sekeluarga kekal bahagia dan diberkati Allah SWT. Aminn

I'M BACK

Assalamualaikum semua...

Perghhhh...rasanya lama sangat blog ni terbiar. Nasib baik la blog ni takdak perasaan, kalau tak dah lama dia lari tinggalkan cheq. Rasanya inilah entri pertama cheq untuk tahun 2016. Sat noooo.. nak check bila last cheq coret cerita cheq kat sini.

Entri cheq yang paling last.


Tu dia...last sekali 19 Disember 2015. Dah lebih 3 bulan pun. Sebenarnya banyak cerita nak tulis. Cerita pasal percutian tahun 2015 pun belum habis lagi nak bagitau, tup-tup tahun 2016 ni cheq dah cuti balik. Mood nak menulis tu dah terbang bersama angin lalu. 

Tahun baru ni cheq dapat bos besar baru lagi. Baru masuk 5 tahun cheq kat sini, dah 3 kali bertukar bos. Baru nak faham peel bos lama, datang bos baru yang lain plak peelnya. Yang paling serabutnya cheq tiba-tiba plak dapat anak tiri segera. Anak tiri yang tak makan diajar. Sebaik-baik cheq ni memang orang tak pernah dengar cheq maki hamun, tapi bila berdepan dengan perangai anak tiri cheq ni, memang segala mak pak maki hamun cheq terkeluar. Cukup....dah tak mau cakap pasai dia. Pasai dia cuti cheq kena potong. Dah besaq panjang pun nak minta kita jaga lagi.

Opsss...termengadu kat sini plak. Macam-macam lagi cerita akan dipahatkan kat sini. Tunggu kesinambungannya nanti.

Sehingga kita bersua lagi. 😁😁😁