MENGENANG TRAGEDI HIROSHIMA SUNGAI BULOH TAHUN 1991


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة


Letupan paling kuat dan dahsyat dalam sejarah Malaysia berlaku pada petang Selasa, 7 Mei 1991 di Sungai Buloh, Selangor. Anggaran masa letupan ialah pada pukul 3.45 petang yang mengorbankan 26 orang di samping 83 orang yang cedera. Jumlah kutipan derma tabung bencana dianggarkan RM935,688.18.

Kekuatan letupan dan kesan kemusnahan yang dihasilkan menyebabkan tragedi ini turut digelar 'Hiroshima Sungai Buloh' berikutan ledakan menggegarkan itu diibaratkan seakan-akan peristiwa bom atom dijatuhkan pesawat Amerika ke wilayah Jepun itu semasa Perang Dunia kedua.

Begitulah andaian kesan letupan 200 tan belerang yang berpunca dari sebuah kilang mercun di kawasan itu sehinggakan percikan bunga api dan serpihan berterbangan jauh malah kesan gegaran dirasai sehingga  7 kilometer dari lokasi tragedi.

Bunyinya yang kuat bagaikan letupan bom berkuasa tinggi  dan kesan gegarannya memecahkan cermin tingkap rumah di bandar Seri Menjalara dan Selayang, yang yang terletak kira-kira 7 kilometer jauhnya dari kilang itu.

Jika kawasan sejauh itu mampu musnah dan rosak, dapatkah anda bayangkan keadaan mangsa yang berada hanya beberapa kaki dari bahan letupan itu ketika ia meletup? 

Tragedi kilang mercun itu meninggalkan kesan sejarah besar kepada negara, sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini dibenarkan malah dihasilkan kilang di negara ini.

Cerita tragis itu bermula kira-kira jam 3.45 petang apabila tanpa diduga, secara tiba-tiba saja SATU LETUPAN BESAR termasuk dari satu kawasan di dalam kilang itu. Bukan sekali, LETUPAN KEDUA seterusnya menyusul kira-kira 10 minit kemudian.

Sengsara itu masih belum berakhir apabila LETUPAN KETIGA dan yang paling kuat, berlaku jam 4 petang dan dirasai lebih 4 kilometer. LEBIH 20 LETUPAN kemudian terus berlaku sehingga kepulan asap yang di percayai paling dahsyat dalam sejarah negara boleh dilihat dari jarak 8 kilometer.

Berpuluh-puluh pekerja yang kebanyakkannya baru memulakan sesi tugas petang pada 45 minit sebelum itu kelihatan menyerbu pintu keluar kilang bagi  menyelamatkan diri daripada  dibakar rentung atau terus hancur akibat letupan berkenaan.

Kekuatan letupan itu memang menakutkan, ia menggegarkan kawasan sekeliling menyebabkan banyak rumah runtuh atau terbakar. Bukan sekadar rumah, beberapa kilang termasuk kilang makanan haiwan, kilang papan dan kilang bahan pewarna makanan yang berada berdekatan turut terbakar.

Berpuluh kenderaan termasuk kereta dan motorsikal musnah. Letupan itu turut menggemparkan penduduk sekitar termasuk anggota tentera di Kem Tentera Sungai Buloh yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari kilang berkenaan.

Keadaan kelam-kabut terus berlaku apabila penduduk dan beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri bagi mengelak terkena serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu selain bahang api.

Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera terkena serpihan dan api itu. Kemalangan jalanraya turut berlaku sewaktu pemandu bergegas menyelamatkan diri ketika kebakaran ini. Seorang wanita cedera di kepala apabila terlanggar sebuah kereta di jalan raya dalam cubaan menyelamatkan diri itu.


Bagaikan kawasan peperangan. Begitulah keadaan
kawasan letupan mercun di Sungai Buloh.


Selepas letupan demi letupan itu semakin berkurangan, kedengaran raungan kesakitan di mana-mana. Berpuluh-puluh mangsa berlumuran darah merah, manakala ratusan orang ramai mula memenuhi kawasan kejadian untuk mencari sanak-saudara yang dikhuatiri menjadi mangsa tragedi.

Wajah cemas dan sugul mengiringi pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepada sesiapa saja yang dijumpai untuk mengetahui nasib sanak-saudara masing-masing yang bekerja di kilang berkenaan. Bimbang mereka jika insan yang disayangi menjadi korban tragedi itu.

Tangisan dan raungan semakin kuat kedengaran tatkala melihat keadaan ngeri mangsa yang rentung dan sudah tidak lengkap anggota badan dibawa keluar dari bangunan kilang yang hangus terbakar.

Lapan jentera bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan (2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa.

Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kepayahan lantaran pelbagai masalah timbul. Tekanan air terlalu rendah, pili jauh, api merebak terlalu cepat, angin kencang serta beberapa letupan menghalang tugas memadam dengan lebih mudah.

Apabila pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke tiga buah rumah berhampiran kilang. Akhirnya pasukan bomba terpaksa menggunakan air yang dibawa sendiri dan selepas bertungkus-lumus selama dua jam, mereka akhirnya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain di sekitar kawasan berhampiran.

Sembilan ambulan dari Hospital Kuala  Lumpur (HKL), lima dari Hospital Sungai Buloh berulang-alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa keluar hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah.

Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter!

Bomba dan pasukan penyelamat lain terus memantau keadaan di tapak kilang itu sehinggalah ke malam. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya. Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.

Sehari selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buloh itu. Satu daripada mayat itu ialah seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung.

Pemeriksaan awal juga mendapati 83 orang cedera dan dirawat di beberapa buah hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis juga menerima aduan mengenai kehilangan enam orang penduduk tempatan. Selain itu, 37 buah rumah dan kilang serta 7 buah motorsikal musnah dalam kejadian ngeri itu.

Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri. Kemudian satu persatu kisah yang terselindung di sebalik tragedi itu mula terbongkar.

Kilang mercun dan bunga api itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978 malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja bawah umur!

Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan. Ia berpunca daripada kelalaian pihak kilang yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas sehingga terkena longgokan simpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran seterusnya letupan semakin merebak.

Keadaan semakin sukar dikawal ketika kebakaran berlaku kerana tiada usaha awal memadamkan api dan juga peralatan pencegahan kebakaran tidak disediakan secukupnya di kilang itu.

Hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun!


Sekitar pemandangan kawasan tragedi kilang
mercun Bright Sparkler yang meletup dan terbakar.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 orang anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, penyebaran gas itu semakin buruk sehingga menyebabkan lebih 50 anggota pasukan penyelamat dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan kerana terkena gas beracun itu.

Kemudian operasi diteruskan dengan anggota penyelamat terpaksa mengenakan topeng.gas dan pakaian khas. Pasukan penyelamat juga menggunakan dua mengelak bagi membersihkan tapak kilang.

Pada 16 Mei, pihak berkuasa  melancarkan'  Operasi Api Buluh' untuk membersihkan dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang berkenaan. Dalam operasi itulah, petugas menjumpai beberapa lagi mayat dalam keadaan yang mengerikan, iaitu hangus terbakar sehingga menjadi rangka dan tengkorak di kawasan letupan dan Jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu meningkat kepada 26 orang.

Walaupun sudah beberapa hari berlaku, gas toksik masih tidak menghilang, malah semakin merebak kepada penduduk berhampiran. Tujuh anggota penyelamat turut pengsan selepas tersedut gas itu. Keadaan semakin bahaya walaupun sudah masuk hari ke-11, masih terdapat bara api  yang muncul di tapak letupan itu tetapi ia berjaya dikawal oleh pihak berkuasa yang segera memadamkannya.


Gambar-gambar di sekitar tempat kejadian.




Pembawa maut. Antara mercun yang dijumpai
di tempat kejadian.


Mayat yang dijumpai terbenam dalam kejadian
tersebut.





🌹🌹Terima kasih kerana sudi membaca 🌹🌹

2 comments:

  1. sama2 kita titipkan doa. dh lama kejadiannya. rasa msa tu bru sek rendah

    ReplyDelete

Sudilah kiranya bagi komen di sini.
Gunakanlah ayat yang menunjukkan anda seorang yang berbudi bahasa.
Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh singgah lah lagi.